KUALA PILAH – Seorang suri rumah didenda sebanyak RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana membuat laporan palsu kononnya disamun dalam kejadian Selasa lalu.
Majistret, Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu ke atas Hafeeza Syuhada Abdul Hamid, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan menetapkan tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Hafeeza Syuhada dituduh telah membuat laporan palsu bahawa dia telah disamun di tepi Jalan Juaseh – Kuala Pilah, di sini, oleh dua lelaki yang tidak dikenali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kuala Pilah pada 11 Julai lalu kira-kira pukul 1.51 tengah hari mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi sebelum itu memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana telah membuat laporan palsu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon agar denda dikurangkan memandangkan dia mempunyai kekangan kewangan, selain memohon Majistret tidak mengenakan hukuman penjara serta sekatan perjalanan.-KOSMO! ONLINE