PETALING JAYA – Seorang majikan atau ketua dalam sesebuah organisasi mahupun syarikat dinasihatkan untuk mempunyai pendirian yang kuat dan tidak mudah lemah dengan pekerjanya terutamanya melibatkan kata-kata pujian melampau.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, dalam sesebuah organisasi pastinya mempunyai dua ciri ketua iaitu yang baik dan sebaliknya.
“Ada ketua yang baik dan ada pula sebaliknya. Bos yang tak baik adalah mereka yang mudah dibodek. Mereka ini merupakan seseorang yang sangat lemah pendiriannya,” katanya menerusi satu perkongsian di TikTok baru-baru ini.
Menurut beliau, ada 10 kelemahan yang boleh dilihat kepada seorang ketua atau majikan yang dikategorikan sebagai mudah dibodek oleh pekerjanya.
“Satu, mereka suka dipuji. Kalau bos ini selalu suka dipuji maka pembodek akan mudah ambil kesempatan.
“Mudah percaya. Apa pembodek cakap semua dia (bos) percaya dan dia akan mengambil tindakan yang salah keranan keputusan dibuat berdasarkan ‘nasihat’ daripada individu tidak sepatutnya.
“Ada ketua mudah terasa terhutang budi dengan pembodek. Kadang kala ketua pula yang kelihatan seperti mengikut arahan pekerja,” kongsinya.
Bercerita lanjut, beliau memberitahu antara ciri lain adalah tidak serius dalam bekerja, pentingkan diri sendiri, tidak suka ditegur kerana hanya mendengar teguran atau cadangan daripada orang-orang tertentu sahaja dan mudah bersangka buruk terhadap orang lain selepas menerima hasutan pembodek.
“Selain itu, ada bos yang tidak kenal pekerjanya sendiri, tidak profesional dan sering menjadikan emosi sebagai sandaran utaka dalam membuat keputusan serta sering bergantung harap kepada orang lain.
“Meskipun dia mempunyai kuasa autoriti dalam membuat keputusan, biasanya dia akan bergantung harap kepada pembodek kerana individu itu merupakan orang paling dipercayai di pejabat seolah-olah mengetahui setiap hal,” jelasnya.
Tambah beliau, ketua yang suka dibodek ini digambarkan sebagai makanan mudah diratah oleh kakitangannya dan dia juga senang untuk diambil kesempatan. – KOSMO! ONLINE