fbpx

Anak B40 banggakan ibu bapa dapat STPM PNGK 4.00

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norain (dua dari kiri) bersama bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibunya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 di Sekolah Menengah Baling, Baling semalam.

KOTA TINGGI – Hidup dalam kemiskinan sedikitpun tidak mematahkan semangat calon-calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Antara yang berjaya membuktikannya ialah seorang anak buruh kampung dari Teluk Ramunia, Pengerang di sini, Sorfinazakiah Samsuddin, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab itu berkata, dia sanggup memilih untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam di sekolah berkenaan yang terletak agak jauh dan mengambil masa lebih satu jam perjalanan dari rumahnya.

“Kami bukan keluarga yang senang, ayah, Samsuddin M. Saad, 56, hanya bekerja sebagai buruh kampung, manakala ibu, Sudartik Ngatemun, 47, ambil upah mengemas bilik hotel.

“Apa yang saya impikan hanya satu iaitu membuatkan mereka bangga dan kalau boleh, mahu ubah kehidupan keluarga suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi dan Pengumuman Keputusan STPM 2022 di Dewan Sri Tun Habab di sini semalam.

Sorfinazakiah (dua dari kanan) dan Batrisyia (dua dari kiri) meraikan kejayaan mereka bersama ibu masing-masing di Kota Tinggi semalam.

Menurut Sorfinazakiah, dia sangat terharu dengan kepayahan ibu bapanya yang sanggup bekerja sehingga usia tua semata-mata untuk membesarkannya.

“Ibu sanggup menunggang motosikal ke sekolah ketika hujan semata-mata mahu menghantar wang saku kepada saya.

“Hari ini (semalam), saya dan ibu hanya menaiki teksi untuk berada di dewan ini dan saya bangga apabila melihat ibu gembira,” katanya.

Bagi Batrisyia Hassan, 20, pula, kejayaan meraih keputusan PNGK 4.00 itu dihadiahkan khas buat ibu bapanya.

Katanya, bapanya, Hassan Ibrahim, 50, merupakan seorang penjual sate dan telah berniaga sejak dia kecil untuk menyara keluarga bersama ibunya, Zainon Mamat, 47.

Anak sulung kepada tiga beradik itu berkata, dia tidak mahu melihat keluarganya hidup susah dan sedar hanya pendidikan dapat mengubah hidup mereka.

Di Baling, Kedah, anak pengawal keselamatan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Baling (SMKB), Norain Abdul Jalil, 20, berkata, kehidupan sukar yang dilalui keluarga­nya telah menjadi pendorong utama untuk dia belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh keputusan cemerlang.

“Pertamanya pengurusan masa sangat-sangat penting, buat jadual sendiri dan kedua, berikan tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar dan ketika belajar dengan rakan-rakan.”

“Saya sentiasa lakukan solat tahajut selain berdoa dan bertawakal kepada Allah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 Peringkat Negeri Kedah di SMK Baling semalam.

Norain berkata, bapanya, Abdul Jalil Mohd. Zainol, 54, sangat bekerja keras untuk menyara ke­luarga termasuk abangnya, Mohd. Firdaus Abdul Jalil, 23, yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI