SEBERANG PERAI – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperuntukkan sebanyak RM49.4 juta untuk membangunkan 38 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi tempoh lima tahun di Pulau Pinang.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, lebih menarik lagi, Pulau Aman dipilih sebagai salah satu lokasi PEDi yang dijangka dapat dimanfaatkan lebih 250 penduduk di kawasan terbabit.
“Kita dalam peringkat terakhir dan kita percaya proses tender boleh selesai sebelum hujung Ogos.
“Kontraktor yang terpilih akan diberi masa lima bulan untuk menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan antaranya komputer dan capaian Internet berkelajuan tidak kurang daripada 3 megabit sesaat (Mbps).
“Dijangkakan kesemua (38) PEDi berkenaan bakal memulakan operasi pada penghujung Januari atau selewat-lewatnya awal Februari depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Semarak Gemilang @ Pulau Aman dalam lawatan kerjanya ke negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penduduk setempat yang menceburi bidang keusahawanan berpeluang memasarkan produk jualan ke luar negara.
“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan platform e-datang seperti Shopee dan Lazada untuk melatih penduduk yang berminat untuk menjadi vendor. Penduduk akan diajar pelbagai kemahiran antaranya cara untuk mereka poster dan pembungkusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, sebelum ini, KKD telah mengenal pasti Pulau Aman sebagai kawasan bermasalah dan memasukkannya dalam projek Point of Presence (PoP) bagi penyediaan infrastruktur fiber optik ke sekolah-sekolah kerajaan, premis-premis serta komuniti setempat.
“Penyertaan Telekom Malaysia dalam tender ini serta sokongan daripada pelbagai pihak pada peringkat persekutuan dan negeri, akhirnya masyarakat di Pulau Aman kekal berhubung melalui perkhidmatan Unifi yang disediakan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE