SEPANG – Seramai 10 rakyat Malaysia yang terkandas di Himachal Pradesh, India dilaporkan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pada pukul 1.56 petang (waktu tempatan) tadi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH173.
Kesemua mereka yang terkandas di Manali, India sebelum ini ekoran kejadian hujan lebat dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.01 malam ini.
Kementerian Luar berkata, urusan penerbangan kumpulan itu ke tanah air telah diselaraskan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama Malaysia Airlines setibanya mereka di Manali.
“Hasil usaha sama dan tindakan pantas Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bersama pihak berkuasa India, kumpulan tersebut berjaya dievakuasi bermula pagi Khamis menerusi jalan darat dari Bandar Manali selama 23 jam.
“Mereka tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada pagi Jumaat, 14 Julai 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Susulan itu, Kementerian Luar merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam usaha membawa pulang kumpulan tersebut khususnya kerjasama dan keprihatinan pihak berkuasa India.
“Kementerian juga menggesa rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk terus berdaftar dengan pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara yang dikunjungi.
“Ini bagi memastikan bantuan konsular yang sewajarnya akan dapat diberikan dengan segera kepada mereka yang memerlukan, terutamanya ketika situasi bencana seumpama ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE