GEORGE TOWN – Dua sahabat baik berkongsi kegembiraan selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022, hari ini.
Mereka, Liew Ray Hong, 20 dan Lee Sim Yee, 21, yang merupakan calon STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lelaki Methodist, di sini, berjaya memperoleh memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Ray Hong dan Sim Yee yang bersahabat baik sejak berusia 17 tahun dan berasal dari Bayan Lepas bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang serta pentadbiran perniagaan di Universiti Malaya (UM), selepas ini.
Menurut Ray Hong, segala usahanya termasuk tidak tidur selama 24 jam ketika menghadapi peperiksaan Sejarah dan Pengajian Am berbaloi selepas dia memperoleh keputusan cemerlang.
“Peperiksaan STPM memang sukar dan saya memang mengulangkaji bersungguh-sungguh semasa menghadapi peperiksaan ini.
“Saya tidak tidur selama 24 jam ketika menjawab peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah dan Pengajian Am dan keputusan hari ini memang tidak saya jangka kerana dapat memperoleh PNGK 4.00,” katanya selepas pengumuman keputusan STPM di SMK Lelaki Methodist, di sini hari ini.
Hadir mengumumkan keputusan STPM bagi peringkat Pulau Pinang ialah Pengarah Pendidikan Jabatan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.
Menurut Ray Hong, biarpun dia dan Sim Yee tidak mengulangkaji pelajaran bersama-sama namun mereka sering bertukar-tukar nota pelajaran bagi memahami subjek yang diambil.
“Kami bersahabat baik sejak lama dan persahabatan kami menjadi pendorong untuk kami saling berusaha mengejar impian masing-masing.
“Saya akan meneruskan cita-cita sebagai peguam manakala Sim Yee pula mahu menjadi ahli perniagaan dan bercadang melanjutkan pengajian di UM dalam bidang pentadbiran perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Sim Yee berkata, dia juga tidak menyangka dapat memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM kerana kesemua subjek amat sukar.
“Saya turut mengambil kelas tuisyen secara dalam talian bagi mata pelajaran Pengajian Am kerana subjek ini amat sukar dan saya gembira kerana rakan baik saya turut memperoleh keputusan cemerlang hari ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE