SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, enggan melayan sebarang usaha melobi mana-mana pihak menjelang mesyuarat penyelarasan PH dan Barisan Nasional (BN) hujung minggu ini.
Beliau menegaskan, penularan senarai nama kononnya calon yang bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) dari PKR untuk negeri ini langsung tidak menjejaskan perancangan gabungan PH-BN setakat ini.
“Pada saya penularan senarai nama (20 orang calon PKR) untuk PRN di media sosial baru-baru tidak lebih hanya usaha untuk melobi.
“Saya juga sebagai Naib Presiden PKR dan juga Pengerusi PH Selangor hanya akan bermesyuarat dengan BN pada 16 Julai ini (Ahad ini) dan 17 Julai kita baru tahu sebarang keputusan (tentang pemilihan calon),”katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan senarai nama calon dari PKR di aplikasi WhatsApp, sejak kebelakangan ini.
Amirudin berkata, soal pemilihan calon perlu dilakukan dengan teliti dan kemungkinan akan berlaku perubahan dalam barisan calon kelak. – KOSMO! ONLINE