SEBERANG PERAI – Seramai 6,735 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Ogos depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, anggota Rela bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon dan hari mengundi berjalan lancar.
“Kita sedia maklum tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala 12 Ogos hari pengundian. Semestinya Rela akan bersama dengan anggota keselamatan lain terutama polis bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
“Saya dimaklumkan (Rela) juga akan bersama-sama dengan polis dan akan mengikut apa yg diarahkan, dikehendaki oleh anggota keselamatan lain. Kita di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), maka akan terus kerjasama bagi menempatkan anggota yang akan melaksanakan tugasan berkaitan PRN,” katanya ketika ditemui pemberita di sini petang tadi. – KOSMO! ONLINE