fbpx

Pentadbir masjid diingatkan ‘jaga’ masjid dari propaganda politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

 

SHAH ALAM – Pentadbir masjid dan surau di seluruh Selangor diingatkan mempertingkatkan kawalan agar institusi itu tidak dijadikan medan berpolitik dan pusat propaganda politik kepartian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, mereka juga perlu menguatkuasakan kesemua larangan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi tujuan sama.

“Melalui pemantauan dan pemerhatian JAIS, pentadbir masjid dan surau didapati masih mengambil ringan, membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan tersebut.

“Selain itu, membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politiknya.

“Ini adalah suatu perbuatan yang jelas telah melanggar ketetapan yang dibuat oleh MAIS bagi mengekalkan masjid surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan tindakan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid dan surau adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan MAIS.

Jelas beliau, Sultan Selangor sejak tahun 2018 lagi telah bertitah agar masjid dan surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.

“Baginda juga sentiasa mengingatkan kepada semua pihak termasuklah kepada pentadbir masjid dan surau ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam Masjid seluruh negeri pada 2 Mac lalu di Istana Alam Shah, Klang.

“Titah juga dibuat kepada ahli politik berhubung perkara yang sama ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, ketetapan MAIS berhubung perkara ini juga masih berkuatkuasa.

“Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pegawai masjid juga boleh, dalam masa yang sama dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI