SEBERANG PERAI – Rata-rata penduduk Pulau Pinang teruja dengan reka bentuk feri atau katamaran baharu yang bakal menjadi ikon unik Pulau Mutiara bermula Ogos ini.
Penduduk di pulau itu menyatakan kegembiraan apabila ikonik pengangkutan feri kembali disediakan bagi menghubungkan pulau itu dengan tanah besar.
Seorang penunggang motosikal, B. Chandran, 46, berkata, perkhidmatan feri baharu itu sememangnya ditunggu-tunggunya sejak sekian lama memandangkan dia sering berulang-alik dari rumahnya di Bagan Dalam ke George Town melalui jambatan.
“Saya ada lihat gambar feri (baharu) itu dalam Facebook. Boleh tahan (menarik). Nampak moden dan canggih,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Jelasnya, rekaan moden pada feri baharu itu cukup membuktikan Pulau Pinang kini berada setanding dengan negara-negara maju lain.
Seorang tokoh penggiat seni tempatan, Omar Md. Hashim, 68, atau lebih dikenali sebagai Omara pula memberitahu, walaupun reka bentuk feri baharu ini tidak sama seperti sebelumnya, namun dia percaya ia tetap memberi banyak manfaat kepada seluruh penduduk termasuk pelancong luar dan tempatan.
Jelas Omara, sebagai anak jati Pulau Pinang, dia tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan itu dan percaya perasaan yang sama turut dikongsi oleh warga Pulau Mutiara yang lain.
“Bagi saya, ‘tak kenal maka tak cinta’. Yang lama (feri) tetap disayang dan yang baharu juga akan kita sayang.
“Feri masih dan akan kekal sebagai ikon unik (pengangkutan) yang ‘melambangkan’ wajah Pulau Pinang,” katanya kepada Kosmo!.
Terdahulu, empat feri baharu yang dianggarkan bernilai RM18 juta setiap satu itu bakal beroperasi di negeri ini mulai 7 Ogos ini dengan tambang percuma selama sebulan.
Katamaran baharu itu mampu menampung kapasiti kira-kira 250 penumpang dan 50 buah motosikal pada satu-satu masa dengan anggaran waktu perjalanan sekitar 10 minit berbanding 20 minit sebelum ini.
Sementara itu, seorang lagipenunggang motosikal, Mohd. Iqbal Shamsuddin, 30, turut sama berkongsi keterujaannya untuk menggunakan perkhidmatan feri berkenaan.
“Sebenarnya, bukan saya sahaja yang teruja. Isteri dan anak-anak pun tumpang rasa seronok tidak sabar untuk naik feri baharu ini,” jelasnya.