LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengakui pasukan itu tidak lagi boleh dipalit masalah prestasi dan perlu tampil lebih sempurna untuk mencabar Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan.
Pemain itu memberitahu, The Reds perlu menamatkan aksi di kedudukan lebih baik berbanding apa yang dilakukan musim lalu.
“Sebagai sebuah kelab adalah perlu untuk bersikap jujur dan kami begitu menghormati setiap pertandingan yang kami sertai. Namun, jika ditanya adalah kami mahu berada di tempat kelima, kami akan katakan tidak.
“Adakah kami mahu duduki tempat kelima sekali lagi musim depan? Tidak, kami mahu memenangi liga, mahu mencabar dan berada dalam persaingan merebut kejuaraan dalam setiap pertandingan.
“Kami tahu bagaimana untuk memenangi liga dan mencabar City. Kami perlu pastikan pasukan capai tahap terbaik sepanjang musim dan itulah yang kami sedang lakukan sekarang,” katanya.
Ekoran isu prestasi musim lalu, The Reds terlepas slot ke Liga Juara-Juara dan tersingkir di pusingan keempat Piala FA, Piala Liga Inggeris dan tewas di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Selepas hilang beberapa pemain, persiapan Liverpool seakan berada pada tahap terbaik dan pengurusnya, Jurgen Klopp sudah pun berjaya mendapatkan dua nama besar untuk mengisi jentera tengah, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai. – AGENSI