fbpx

Kalau Jasmine Loo pun kita boleh bawa balik, apatah lagi individu lain – Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – ‘Kalau Jasmine Loo Ai Swan pun kita boleh bawa balik, apatah lagi individu lain. Biar masa yang akan menentukan’

Itulah reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain apabila ditanya mengenai ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegas beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghentikan sebarang siasatan terhadap kes-kes yang telah dibuka khususnya membabitkan 1MDB.

“Ramai tanya apa perkembangan tangkapan Jho Low. Kalau Jasmine Loo pun kita boleh bawa balik, dalam bila-bila masa sahaja, biar masa sahaja yang akan menentukan.

“Saya tekankan dekat sini, pihak polis tidak pernah hentikan sebarang siasatan untuk kes-kes yang kita telah buka. Tidak perlu tanya sebab kita ada taktikal yang kita gunakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau mengulas perkara tersebut selepas mengesahkan tangkapan yang dibuat terhadap bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 49, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jumaat lalu.

Tambah Razarudin, ada beberapa suspek lain selain Jho Low yang terlibat dalam skandal 1MDB juga sedang berada dalam radar PDRM.

“Insya-Allah, doakan yang terbaik. Saya tidak mahu dedahkan banyak sebab khuatiri suspek dan saksi berada dalam bahaya. Jadi tunggu sahaja,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang penangkapan Jasmine Loo, Razarudin berkata, wanita itu datang bersama peguamnya sebelum ditahan oleh pihak polis.

Katanya, tahanan reman telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.

“Kita masih menyiasat dan juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang sekiranya memerlukan sama ada sebagai saksi atau siasatan yang menjurus kepada tertuduh.

“Kita akan bekerjasama terutamanya dengan pihak Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kita akan menyemak juga dengan agensi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sekiranya Jasmien Loo ini dikehendaki,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Jasmine Loo telah ditahan polis Jumaat lalu.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI