Saya mempunyai kebun dan sering dikacau oleh babi yang merosakan tanaman. Pada keesokan harinya, saya menanam balik tanam yang telah dirosakkan oleh babi tersebut. Bagaimana hukumnya mengenai hal ini?
JAWAPAN: Pada awalnya, kami bawakan di sini dalil serta pandangan ulama berkenaan kenajisan babi.
Ulama telah berijmak bahawa babi adalah najis secara zatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran. Kesemua bahagian babi sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih.
Rasulullah SAW bersabda:
“Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.”
Pandangan mazhab Syafie dan Hambalī terhadap nas hadis ini, mereka mengqiyaskan babi dengan anjing, di mana anjing merupakan najis seperti yang disebut dalam hadis.
Maka, babi lebih najis daripada anjing.
Najis ain adalah semua yang berjisim, dapat dilihat atau mempunyai sifat zahir iaitu warna atau bau seperti tahi, kencing dan darah.
Najis hukmi adalah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi.
Khinzir dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu jenis yang berat.
Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat dan tidak memadai membasuhnya dengan air sekali seperti najis-najis lain.
Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah.
Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah adalah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi.
Berdasarkan pendapat para ulama, maka pendapat muktamad dalam mazhab Syafie menunjukkan babi terdiri daripada najis ‘ain.
Namun begitu, dalam persoalan yang diajukan hanya kesan perbuatan babi merosakkan tanaman sahaja yang didapati di kebun diusahakan.
Akan tetapi tidak terdapat kesan najis di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, tidaklah dihukumkan kawasan tersebut bernajis.
Ini kerana, pada asalnya tiada najis, maka tidak dihukum najis sehinggalah dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.
Adapun bekas tapak kaki atau kawasan ia bermain atau mencari makanan dengan memusnahkan tanaman, maka ia termasuk dalam perkara umum yang sukar dielakkan.
Oleh itu, berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya, maka tidak perlu disamak.