fbpx

Fitnah Anwar: Setiausaha politik buat laporan polis terhadap 3 individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Farhan menunjukkan salinan laporan polis terhadap Che'GuBard, Wan Saiful dan Raggie Jessy berhubung tohmahan dan fitnah yang di dilemparkan kepada Anwar di IPD Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, hari ini membuat laporan polis terhadap tiga individu berhubung kenyataan palsu serta fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Farhan berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Pusat, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’GuBard, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithuadeen.

Katanya, kesemua mereka menyebarkan kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Anwar dalam kenyataan media oleh Che’GuBard setelah membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, katanya, ucapan Wan Saiful pada ‘Ceramah Isu-isu Semasa Kawasan Jerlun’ beberapa hari lalu juga, turut mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai kediaman peribadi Perdana Menteri itu di Sungai Long, Kajang, Selangor serta beberapa kenderaan yang digunakan oleh Anwar.

“Adalah jelas bahawa kesemua kenyataan-kenyataan tersebut adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik.

“Bukti-bukti konklusif dan menyeluruh yang menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan-kenyataan palsu tersebut akan dikemukakan kepada pihak polis semasa siasatan kelak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut mengambil peluang untuk mengingatkan semua pihak bahawa selaku umat Islam dan orang yang beriman, kita harus berpegang kepada adab-adab yang dianjurkan di dalam syariat.

“Kita hendaklah berhati-hati apabila mendengar berita-berita terutamanya yang disampaikan oleh mereka yang diragui keperibadian dan akhlak mereka dengan ‘bertabayyun’ iaitu memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan.

“Bukannya menyebarkan berita-berita yang tidak sahih dan lebih teruk lagi mengolah serta menambah-nambah berita palsu tersebut dengan hasutan dan fitnah selain menyemai kebencian dan permusuhan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, Che’GuBard mendesak Anwar menjelaskan status kediaman peribadi yang didiaminya ketika ini di Bandar Sungai Long.

Katanya, desakan itu timbul selepas carian menunjukkan banglo mewah itu milik seorang taikun Cina yang juga terkait dengan projek perniagaan berbilion ringgit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI