LONDON – Spekulasi perpindahan pelumba McLaren, Lando Norris yang dikaitkan dengan perpindahan menyertai Red Bull Racing hangat diperkatakan ketika ejennya dilihat mengadakan pertemuan dengan penasihat pasukan itu, Helmut Marko.
Laporan Telegraph menyebut, kedua-dua mereka telah meluangkan masa lebih sejam sebelum perlumbaan Grand Prix British di Litar Silverstone berlangsung Ahad lalu dan prospek perpindahan pelumba itu dikatakan menjadi salah satu tajuk perbincangan.
Bagaimanapun, Mark Berryman yang merupakan ejen Norris menafikan perkara itu sambil mengakui bahawa pertemuan itu adalah berkisar mengenai perkara lain.
Jelasnya, syarikat ADD Management miliknya turut menjadi wakil kepada pelumba F1, Zane Maloney yang terlibat dalam program junior Red Bull dan perbincangan mengenai masa depan pemandu berkenaan adalah menjadi topik utama.
Bagaimanapun, laporan mendakwa bahawa perbincangan mengenai prestasi semasa Norris tidak mungkin menjadi tajuk yang diabaikan oleh kedua-dua pihak tersebut sekali gus mencetuskan khabar angin berkenaan.
Norris berjaya mencipta sensasi pada perlumbaan GP British apabila meraih tempat kedua di belakang pelumba Red Bull, Max Verstappen.
Selain itu, masa depan seorang lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez ketika ini turut menjadi persoalan ekoran prestasi kurang memberangsangkan.
Ketika ini, Perez memiliki kontrak bersama pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes itu sehingga penghujung musim 2024, manakala Norris terikat dengan McLaren sehingga penghujung musim 2025. – AGENSI