ALOR SETAR – Tindakan pihak tertentu menconteng papan iklan memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di beberapa kawasan dalam negeri ini, tidak sepatutnya berlaku kerana perbuatan sedemikian menjurus kepada ‘permainan’ politik ekstrem yang membahayakan negara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, politik melampau seperti itu sudah tiada tempat dalam dunia hari ini ketika semua pihak sibuk mengejar kemajuan dari segala sudut terutamanya teknologi terkini.
“Kalau kita tak suka pun, sentiasa ada had yang tidak boleh dilanggar. Sebab itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkali-kali mengingatkan mengenai kenyataan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja agar tiada pihak yang melangkaui batas.
“Kita takkan aman kalau bawa politik melampau sebaliknya perlu sentiasa bersikap rasional. Semua ini perlu bermula dengan kepimpinan tetapi kadang-kadang ada pemimpin buat kenyataan yang berbentuk menghasut.
“Maka jangan salahkan pihak berkuasa kalau buat siasatan bawah Akta Hasutan. Nak buat kerja menconteng bagi tunjukkan sikap ekstrem ini sudah tak boleh diterima kerana kita kini berada pada 2023 di mana orang semua bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan dunia digital tetapi kita masih lagi nak bawa politik melampau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut disertai barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri di Bangunan Tunku di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE