BALING – Anak pengawal keselamatan antara pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 bagi tahun 2022.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Baling (SMKB), Norain Abdul Jalil, 20, berkata, keadaan keluarganya yang agak kekurangan menjadi pendorong utama untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperolehi keputusan cemerlang STPM.
“Pertamanya pengurusan masa sangat-sangat penting, buat jadual sendiri dan keduanya, berikan tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar dan ketika belajar dengan rakan-rakan.”
“Saya sentiasa lakukan solat tahajud selain berdoa, dan bertawakal kepada Allah setelah saya berusaha bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Baling, hari ini.
Menurutnya, bapanya, Abdul Jalil Mohd Zainol, 54, sangat bekerja kuat untuk menyara mereka sekeluarga terutamanya dia yang masih belajar dan abang, Mohd Firdaus Abdul Jalil, 23, yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan.
Dengan usaha bapa sendiri sangat membantu memberi inspirasi agar terus belajar untuk mengubah nasib keluarga pada masa hadapan, juga ibunya, Rajmah Razali, 55, yang sentiasa berada di sisinya memberi nasihat tanpa jemu.
Anak ke dua daripada dua beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan belajar di Universiti Sains Malaysia.
Rajmah pula berkata, dia tidak menjangka anak ke duanya itu mendapat keputusan yang cemerlang meskipun dia tidak begitu memaksa anaknya belajar bertungkus lumus sehingga mengabaikan perkara lain.
“Saya dan suami tidak begitu menekannya untuk belajar, tetapi saya melihat Norain sentiasa dengan buku ketika berada di rumah, belajar tanpa disuruh, rajin ke sekolah dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anak.”
“Kami amat gembira dan tidak menyangka Norain boleh capai keputusan sebegini baik hingga dapat anugerah cemerlang,” kata Rajmah. – KOSMO! ONLINE