MANCHESTER – Selepas membawa masuk Mason Mount dari Chelsea, Manchester United terus bekerja keras bagi memantapkan pasukan menjelang musim baharu apabila menjadikan pemain tengah Fiorentina, Sofyan Amrabat sebagai sasaran seterusnya.
Bagaimanapun, United perlu bijak melakukan rundingan bersama Fiorentina bagi mendapatkan harga berpatutan memandangkan mereka memiliki bajet terhad selepas berbelanja hampir £60 juta (RM361.56 juta) untuk Mount.
United mungkin boleh membawa masuk Amrabat ke Old Trafford dengan harga berpatutan memandangkan pemain antarabangsa Maghribi itu memiliki baki kontrak selama setahun yang akan tamat penghujung musim depan.
Selain itu, pengurus United, Erik Ten Hag memiliki pengaruh cukup besar terhadap Amrabat kerana mereka pernah bekerjasama dalam satu pasukan pada musim 2016/17 ketika bersama FC Utrecht.
Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu mula menarik perhatian kelab-kelab ternama Eropah selepas dia menampilkan aksi cukup baik bersama Maghribi pada saingan Piala Dunia Qatar 2022.
Selain itu, Amrabat juga dianggap antara pemain tunjang yang membawa Fiorentina melangkah ke perlawanan akhir Liga Konferensi Europa musim lalu sebelum tewas 1-2 kepada West Ham United.
Selain United, beberapa pasukan termasuk Liverpool turut berminat dengan khidmat Amrabat, namun mereka mungkin tidak meneruskan hasrat melakukan bidaan selepas berjaya mendapatkan khidmat Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai untuk menguatkan jentera tengah pasukan itu pada saingan musim depan. – AGENSI