IPOH – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang merancang kaedah-kaedah lain untuk membina penempatan pekerja khususnya di kawasan perkilangan supaya isu itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kementerian telah mengambil semua inisiatif untuk memastikan bahawa peruntukan-peruntukan dalam Akta 446 dipenuhi oleh majikan.
“Ini terutamanya bagi pekerja-pekerja asing. Sebelum golongan itu datang ke Malaysia, kita nak pastikan bahawa majikan menyediakan penginapan yang sesuai untuk mereka. KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga sentiasa memastikan bahawa majikan menyediakan tempat penginapan yang sesuai.
“Bagaimanapun, pada masa sama kita juga sedang merancang kaedah-kaedah lain untuk membuat penempatan di kawasan-kawasan perkilangan supaya masalah ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak 2023, di sini hari ini.
Menurutnya, banyak perkara dan inisiatif telah diambil oleh JTK dan KSM untuk memastikan penginapan yang diberikan kepada pekerja adalah dalam keadaan baik.
Sementara itu, Sivakumar berkata, KSM menyasarkan tahap Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) melebihi 90 peratus pada masa hadapan.
Setakat ini, menurut beliau Perak telah mencapai skor tertinggi pada tahun lalu dengan nilai skor IHI sebanyak 82.6 peratus.
“Ini menunjukkan peningkatan dari 2020 di mana IHI Perak pada ketika itu adalah sebanyak 80.3 peratus. IHI ini penting kerana boleh dijadikan panduan untuk mengukur dan menentukan tahap keharmonian perusahaan supaya dapat menarik pelabur asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE