fbpx

8 tahun hilang, lelaki Myanmar didakwa bunuh warga Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ajib Kham ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, hari ini. Foto FARIZ ROSADIO

AMPANG – Selepas lapan tahun menghilangkan diri, seorang lelaki warga Myanmar yang dikehendaki polis berhubung kes bunuh akhirnya berjaya ditangkap dan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Ajib Kham, 37, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berkerja sebagai tukang rumah itu didakwa telah membunuh Uzzal Ali, 28, yang merupakan warganegara Bangladesh di Jalan 2/2 Taman Cahaya, di sini, pukul 8.30 malam pada 5 September 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun.

Jika bukan hukuman mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Semalam media melaporkan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai membunuh seorang lelaki selepas kejadian lapan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 23 Jun lalu.

Menurut polis, punca kejadian dipercayai akibat teguran mangsa terhadap suspek yang berada dalam keadaan mabuk.

Mohd. Azam berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan susulan kecederaan di belakang badan serta tangan akibat kesan tikaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI