ISKANDAR PUTERI – Tiga rakan sejenayah termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai mencuri kabel elektrik di kawasan perumahan Teega Suites, Puteri Harbour, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu dicekup secara berasingan pada pukul 12.15 tengah malam hingga 3.10 pagi.
Menurut beliau, semakan terhadap ketiga-tiga suspek juga mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri menjalankan serbuan dan menahan tiga suspek terbabit.
“Suspek mengaku terlibat dalam aktiviti jenayah tersebut. Semakan dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai 12 rekod jenayah manakala seorang lagi dikehendaki polis.
“Sementara itu, dua suspek positif methamphetamine,” katanya dalam ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Ekoran tangkapan itu, pihaknya merampas kabel elektrik yang dicuri bernilai RM15,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE