WASHINGTON – Gara-gara bosan hidup membujang, seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) menawarkan ‘bonus’ lumayan kepada individu yang berjaya mencarikan suami untuknya, lapor akhbar New York Post semalam.
Seorang peguam litigasi korporat dari Los Angeles, Eve Tilley-Coulson berkongsi misinya mencari jodoh di laman TikTok pada Jun lalu.
“Jika anda mencarikan saya seorang suami, saya akan mengahwininya dan memberi anda AS$5,000 (RM23,260),” demikian menurut kapsyen video itu.
Sejak hantaran itu mendapat lebih 556,000 tontonan, Eve sudah diperkenalkan dengan 20 hingga 25 lelaki melalui broker perkahwinan.
“Saya belum menghadiri temu janji lagi, tetapi orang ramai sudi membantu. Saya sudah membujang selama lima tahun, bertemu ramai lelaki secara bersemuka dan dalam talian.
“Namun sejak Covid-19, berlaku perubahan dalam budaya bertemu janji. Lelaki tidak suka bersemuka dengan wanita dan kebanyakan lelaki di aplikasi (media sosial) tidak serius bercinta,” katanya.
Menurut Eve, calon suaminya perlu berusia dalam lingkungan 27 hingga 40-an, setinggi 177 sentimeter atau lebih, menyukai sukan, haiwan dan kanak-kanak. – Agensi