PETALING JAYA – Jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman terpaksa akur terlepas peluang beraksi di pentas final Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand apabila terkandas di peringkat separuh akhir sebentar tadi.
Umar, 20, gagal meraih slot tiga terbaik saringan separuh akhir 1 di Stadium Nasional itu dengan masa 46.42 saat (s), di belakang Fuga Sato (Jepun), Aruna Dharshana (Sri Lanka) dan R. Ramesh (India).
Hasratnya untuk menyambar dua slot terakhir untuk layak ke final juga tidak kesampaian apabila berada di kedudukan ketiga di belakang Muhammed Ajmal Variyathodi (India) dan Mudiyanselage Rajitha Neranjan Rajakaruna (Sri Lanka).
Variyathodi melakukan masa 45.76s, manakala Rajakaruna pula berjaya mencatat 46.12s.
Walaupun gagal ke final tetapi pemegang rekod 400m kebangsaan dengan catatan 46.34s itu tetap mengekalkan statusnya sebagai pelari terpantas Asia Tenggara.
Catatan dilakukan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu pada aksi separuh akhir sebentar tadi masih gagal disaingi Joshua Robert Atkinson dari Thailand (46.43s) dan atlet Filipina, Frederick Ramirez (46.53s).
Ia tentunya satu pengalaman berharga buat Umar sebelum ke China menghadapi dua pentas besar iaitu Sukan Universiti Dunia di Chengdu bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini dan Sukan Asia Hangzhou pada September depan. – KOSMO! ONLINE