PETALING JAYA – Pemilik kedai menjual cakera video digital (DVD) tanpa perakuan B dari Lembaga Penapisan Filem (LPF) ditahan dalam serbuan di sebuah kedai di Damansara Utama, di sini, semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor, Ahmad Hilmi Said berkata, pihaknya merampas DVD pelbagai filem dianggarkan bernilai RM5,070 sekitar pukul 2 petang.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dari mana penjual berusia 40-an terbabit memperoleh barangan itu.
“KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas dan membawa pihak terbabit dengan aktiviti ini ke muka pengadilan serta didakwa mengikut lunas undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Hilmi memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002. – KOSMO! ONLINE.