JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian anggota polis cedera ditikam ketika menjalankan tugas Op Tapis Khas di kawasan tempat letak kereta berbayar, Jalan Ungku Puan, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki tersebut telah ditahan pada pukul 5 pagi, di sekitar bandar raya ini, hari ini.
Menurut beliau, umur dan latar belakang suspek sedang diperoleh, namun masih belum mendapat kerjasama ekoran keadaan suspek yang masih khayal.
“Pemeriksaan dibuat terhadap suspek mendapati dia positif penyalahgunaan dadah dan ketika tangkapan dibuat, dia sedang khayal,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Kelmarin, seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia 22 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, di sini kerana ditikam ketika terlibat dalam operasi polis.
Anggota tersebut mengalami kecederaan parah di rusuk belakang sebelah kiri selepas ditikam dengan pisau oleh suspek kira-kira pukul 2.30 pagi semasa mangsa dan rakan setugas yang lain sedang membuat pemeriksaan terhadap beberapa individu disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
Tambah Raub, anggota terbabit masih berada dalam rawatan di HSA dan sedang berada dalam keadaan baik dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE