Permasalahan denggi masih merupakan isu yang perlu ditangani secara serius di negara kita. Dari tahun ke tahun, tidak ada petunjuk yang jelas sama ada jangkitan oleh nyamuk Aedes itu mampu ditamatkan seperti malaria.
Biarpun ada ketikanya kes semasa tampak seperti menurun, namun kehadiran faktor-faktor tertentu seperti kebersihan alam sekitar tidak baik, adanya hujan, kewujudan kawasan pembiakan dan perubahan jenis strain virus denggi telah menyebabkan ia kembali melonjak.
Pola turun dan naik jangkitan denggi ini turut menyebabkan angka kematian yang agak signifikan.
Sejumlah 39 kes kematian denggi telah direkodkan sehingga Jun 2023 berbanding 37 kematian pada tahun lalu.
Kes yang dilaporkan pula masih menunjukkan majoriti berlaku di Selangor iaitu 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 55,512 di Malaysia.
Pencegahan jangkitan denggi melalui pendekatan tingkah laku sosial masih relevan serta perlu untuk terus diperkukuhkan.
Sejak program vaksin denggi di Filipina digantung pada 2017, fokus kesihatan awam masih menunggu vaksin yang sesuai untuk digunakan dalam konteks mencegah jangkitan dan komplikasi serius.
Justeru itu, tingkah laku pencegahan yang positif perlu kekal dilaksanakan.
Untuk itu, pendekatan individu di lokaliti masing-masing masih memainkan peranan penting untuk mencegah berleluasanya titik panas (hotspot) akibat jangkitan tersebut.
Aktiviti yang dilaksanakan termasuklah sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, mengelakkan keadaan yang berpotensi meningkatkan jumlah nyamuk di persekitaran, penggunaan abate atau bahan yang dapat membunuh jentik-jentik Aedes.
Selain praktis pencegahan tersebut, satu pendekatan yang kini telah memasuki fasa pelaksanaan adalah pelepasan nyamuk Aedes ber Wolbachia ke persekitaran.
Nyamuk Aedes ber Wolbachia ini sebenarnya merupakan nyamuk Aedes yang telah disuntik dengan bakteria Wolbachia.
Bakteria berkenaan akan menyebabkan gangguan kepada sistem reproduksi.
Andainya nyamuk berkenaan mengawan dengan nyamuk lain di persekitaran, ia tidak menghasilkan telur, sekali gus tiada generasi nyamuk baharu.
Akhirnya, nyamuk berkenaan mati dan seterusnya menyebabkan populasi infektif dalam komuniti menurun.
Memandangkan keadaan semasa kes denggi masih kekal dalam pola turun dan naik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meneruskan usaha rintis memperkenalkan pelepasan nyamuk ber Wolbachia di persekitaran dan lokasi terpilih di seluruh negara.
Usaha rintis yang telah dimulakan sejak tahun 2016 telah meliputi majoriti kawasan yang dikenal pasti merupakan lokasi titik panas kes denggi.
Pelepasan nyamuk Aedes ber Wolbachia ke persekitaran bertujuan untuk menurunkan jumlah populasi nyamuk Aedes yang infektif, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.
Sudah pasti, aktiviti tersebut memerlukan penyertaan masyarakat di lokaliti berkenaan serta komitmen yang berterusan.
Beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum nyamuk Aedes ber Wolbachia dilepaskan dalam sesuatu lokaliti.
Di sinilah penglibatan masyarakat sangat penting iaitu mereka sendiri akan melepaskan nyamuk-nyamuk dan telur ke persekitaran.
Antara syarat tersebut adalah usaha memusnahkan kawasan berpotensi sebagai sarang pembiakan, kajian dan pemusnahan jentik-jentik serta kawalan sampah persekitaran perlulah dilaksanakan terlebih dahulu.
Data terkini menunjukkan, terdapat penurunan yang ketara kes-kes denggi serta penurunan indeks larva di lokaliti yang telah mempunyai populasi nyamuk Aedes ber Wolbachia.
Pola sedemikian memberikan harapan kepada kita untuk terus menurunkan jumlah kes denggi tahunan serta membantu mengurangkan kes teruk dan kematian.
Berdasarkan data dan praktis semasa, kita perlu memahami bahawa tidak ada satu-satunya pendekatan unggul untuk memerangi denggi.
Tingkah laku positif terhadap pencegahan dan kawalan denggi seperti pemantauan lapangan yang konsisten, mengambil berat kebersihan persekitaran serta peranan nyamuk ber Wolbachia adalah rangkuman strategi bersepadu yang paling kontemporari dalam mendepani isu denggi.
Menurut kenyataan tidak rasmi oleh mereka yang terlibat di lapangan, dijangkakan liputan pelepasan nyamuk ber Wolbachia di seluruh Malaysia dapat dicapai menjelang tahun 2025.
Pengalaman mendepani wabak denggi sejak dikesan di Malaysia menunjukkan setiap kita perlu memainkan peranan di lokaliti masing-masing termasuk di tempat kerja untuk memastikan risiko jangkitan rendah.
Tanggapan tanggungjawab pencegahan dan kawalan sebagai milik KKM sahaja perlu diperbetulkan.
Demikian juga dengan tanggungjawab membersihkan sampah sarap di lapangan.
Kita sebagai individu dalam masyarakat perlu bertanggungjawab untuk memastikan diri terlindung daripada risiko jangkitan denggi.
Unsur-unsur populis yang bersifat jangka pendek seperti melibatkan golongan popular dalam aktiviti lapangan boleh digunakan untuk menarik minat masyarakat untuk terlibat secara langsung.
Namun, perancangan jangka masa panjang juga perlu dilakukan bagi membolehkan aktiviti berkenaan kekal mampan serta dimanfaatkan oleh mereka terlibat.
Tanggungjawab mengelak jangkitan denggi serta mengawal perebakan titik panas kawasan yang berisiko memerlukan komitmen setiap daripada kita.