IPOH – Polis Perak tidak akan berkompromi jika ada anggota atau pegawai yang terlibat dalam kes melanggar undang-undang negara.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ia termasuklah kes membabitkan anggota yang di premis hiburan di sini pada Sabtu lalu.
“Kes ini masih dalam siasatan dan saya menyerahkan kes ini kepada pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak untuk menjalankan siasatan ke atas mereka.
“Kita juga telah mengambil tindakan segera di mana pucuk kepimpinan mengarahkan untuk menukarkan mereka ke posisi baharu telah pun dibuat,” katanya kepada pemberita pada Program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-216 di Aeon Kinta City hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan dengan kadar segera terhadap enam anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebaik sahaja kertas siasatan lengkap.
“Mereka masih dalam siasatan. Tunggu kertas siasatan, baru kita akan ambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, enam anggota polis disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Ipoh ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada Sabtu lalu.
Difahamkan, dalam serbuan jam 11.30 malam itu, pihak polis turut menemui sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.
Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, seramai 350 anggota polis menderma darah pada program hari ini. – KOSMO! ONLINE