NEW DELHI – Awan ribut yang menyerupai tsunami muncul di Haridwar, negeri Uttarakhand, utara India ketika amaran hujan lebat dikeluarkan, lapor laman berita MailOnline semalam.
Fenomena aneh itu dikenali sebagai ‘awan rak’ atau ‘awan arcus’.
Jabatan Meteorologi India (IMD) meramalkan bahawa Uttarakhand akan mengalami hujan lebat dalam tempoh tiga hari akan datang dan ribut petir dijangka berlaku sepanjang minggu.
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami menggesa orang ramai agar mengelak perjalanan yang tidak penting di kawasan itu kerana hujan lebat melanda negeri tersebut.
Dia juga menasihatkan para pelancong agar tidak melakukan lawatan sehingga cuaca buruk reda.
Rakaman imej awan besar itu menunjukkan penduduk tempatan kelihatan kagum melihat pemandangan itu, dengan ramai yang merakamnya.
Guruh serta angin kencang turut kedengaran dalam video yang dirakam itu, yang dikongsi di laman media sosial dan menjadi tular. – Agensi