PETALING JAYA – “Jika peminat sejati saya, mereka tidak akan berkata buruk tentang artis lain”.
Demikian respons penyanyi, Aina Abdul berkenaan isu ciapan beberapa individu dalam laman Twitter yang membandingkan popularitinya dengan Ernie Zakri, baru-baru ini.
Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani itu percaya netizen yang suka melaga-lagakan artis lain bukan peminat sebenar, sebaliknya sengaja mencetuskan provokasi dan perbalahan.
“Saya enggan letakkan individu tersebut penyokong saya atau pun orang lain kerana peminat setia saya tidak mungkin memperlekehkan rakan seperjuangan saya.
“Saya tahu peminat saya bagaimana, cara mereka berkomunikasi dan semestinya jika dia penyokong seorang bernama Aina Abdul, saya percaya dia tidak akan berbuat demikian.
“Mungkin mereka bukan peminat sesiapa, tetapi sengaja ingin mencetuskan perbalahan dengan membuat kenyataan yang seakan-akan mahu melaga-lagakan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) yang diadakan di The Agam, malam tadi.
Pada masa sama, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu berkata, ciapan negatif yang membandingkan dirinya dengan Ernie tidak akan sesekali menggoyahkan hubungan mereka berdua.
“Satu komen itu tidak sekali pun memberi kesan kepada saya dan Ernie kerana kami berdua kawan baik, malah pergi gimnasium bersama-sama.
“Saya rasa individu itu perlu jumpa saya dan Ernie, lihat bagaimana hubungan kami berdua kerana kami sebenarnya sangat santai.
“Saya tak mahu ini terjadi lagi, jangan komen bukan-bukan yang mungkin akan menyakiti Ernie dan keluarganya. Saya mahukan persaingan sihat yang memeriahkan industri,” kata Aina.
Terdahulu, tular ciapan yang mendakwa hanya keluarga Ernie mengundi sehingga namanya tercalon dalam senarai Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular ABP35 – KOSMO! ONLINE