ENAM atlet olahraga para negara sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Perancis ketika ini dalam misi menyambar tiket ke Sukan Paralimpik Paris 2024.
Juara dua temasya pada Rio 2016 dan Tokyo 2020 iaitu Datuk Abdul Latif Romly pastinya menjadi sandaran terbaik negara untuk menyambar pingat emas pada saingan di Stadium Charlety itu.
Jaguh lompat jauh itu pastinya mahu merampas semula pingat emas dimenangi di edisi London 2017 yang terlepas kepada atlet Belanda, Ranki Oberoi sewaktu penganjuran terakhir di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 2019.
Jurulatihnya, Syahrul Amri Suhaimi mengharapkan atlet berusia 26 tahun dari Perlis itu dapat memberikan lompatan terbaiknya apabila turun membuka saingan pada 17 Julai ini.
“Persiapan dalam keadaan yang baik. Sekarang kami cuba menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan di mana latihan diadakan waktu pagi kerana acara Latif nanti pada pukul 9 pagi.
“Semua atlet yang terpilih sudah pasti akan melakukan yang terbaik sama ada memenangi pingat mahupun pencapaian peribadi. Ini juga peluang terbaik mereka sambar tiket awal ke Paris 2024,” katanya.
Turut menjadi sandaran adalah dua lagi pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20).
Baki tiga lagi atlet menggalas cabaran negara ialah Muhamad Ashraf Muhammad Haisham (1,500m T46), Nani Shahiera Zawawi (lompat jauh T20) dan Wong Kar Gee yang akan turun dalam acara lompat jauh T12 malam ini.