fbpx

Masih ramai tidak hormati kemudahan orang buta – Ketua Polis KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Shuhaily memakai penutup mata untuk merasai pengalaman sebagai orang buta sambil diiringi oleh seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan pada program Santuni OKU Penglihatan bersama Polis Kuala Lumpur di sekitar Brickfield, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Masih ramai penduduk di ibu kota tidak menghiraukan laluan pejalan kaki orang kelainan upaya (OKU) penglihatan di kaki lima jalan sehingga menimbulkan kesukaran kehidupan seharian golongan itu, tegas Ketua Polis Kuala Lumpur.

Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, segelintir warga kota yang mempunyai kesihatan badan yang sempurna dilihat tanpa segan silu meletakkan kenderaan mereka di laluan tersebut.

“Saya perasan susah untuk menjalani hari-hari biasa sekiranya orang yang sempurna tidak menghormati hak laluan pejalan kaki OKU.

“Cuba bayangkan apabila motosikal dalam keadaan ekzos yang masih panas, diletakkan di tempat laluan orang buta dan ini akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan walaupun kenderaan itu diletakkan untuk tempoh seketika.

“Selain itu, sekiranya keadaan ini dialami ahli keluarga, saudara kita sendiri yang mungkin terdiri dari golongan OKU penglihatan, adakah kita masih sanggup menghalang kemudahan yang disediakan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menguji sendiri laluan pejalan kaki dalam keadaan mata ditutup di sekitar Jalan Thambipillay, Brickfields, di sini, hari ini.

Mohd Suhaily melakukan tinjauan tersebut bersama Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, bersama pegawai kanan lain dengan menggunakan tongkat cuba berjalan melalui laluan ‘tactiles’ yang digunakan OKU penglihatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 1,061 saman halangan lalu-lintas dikeluarkan di sekitar kawasan Jalan Thambipillay sehingga kawasan Stesen Monorel Brickfields atas kesalahan halangan pejalan kaki dan larangan meletak kenderaan.

“Apa yang saya buat adalah membuka minda warga Kuala Lumpur. Dalam kesibukan kita mencari nafkah seharian ada orang OKU yang turut mencari nafkah.

“Tindakan tegas adalah sita dan saman (kenderaan), turut diambil tindakan kepada gerai-gerai yang buka di laluan berkenaan, namun ini melibatkan penguatkuasaan agensi lain, agensi lain turut diminta mengambil tindakan yang sama bagi membantu golongan OKU di Kuala Lumpur ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI