fbpx

Mahkamah: Saman RM10 juta, Zuraida fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida

KUALA LUMPUR – Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar saman RM10 juta kerana melanggar syarat bon, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menerusi notis rayuan difailkan firma guaman, Tetuan Zharif Nizamuddin, kelmarin, Zuraida menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membenarkan saman berkenaan.

“Rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan terbabit,” katanya.

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah memerintahkan Zuraida Kamarudin membayar RM10 juta kepada parti itu kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti berkenaan.

Hakim Akhtar memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan PKR selaku plaintif terhadap Zuraida sebagai defendan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, bon yang ditandatangani Zuraida dalam saman itu adalah satu kontrak yang telah mengikatnya.

“Bukti menunjukkan Zuraida menandatangani bon itu dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya dan secara sukarela kerana mahu bertanding dalam pilihan raya atas tiket PKR,” katanya.

Sementara itu, dakwaan Zuraida bahawa jumlah RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan adalah tidak berasas dan “after taught” (pemikiran terkemudian).

Ini kerana mahkamah berpendapat defendan (Zuraida) sendiri mengakui bahawa plaintif membelanjakan jumlah melebihi RM10 juta untuk pencalonan.

Berdasarkan saman yang difailkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail oleh pada 28 September 2020, PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa defendan telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, PKR mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang.

Sebelum ini dalam perbicaraan kes saman itu Mahkamah Tinggi di sini hari diberitahu, Zuraida telah menandatangani bon dengan PKR secara sukarela sebagai memenuhi syarat perjanjian sebagai calon parti sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Saifuddin berkata, Zuraida bukan sahaja mempunyai pengetahuan penuh berhubung syarat tersebut malah tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara itu.

Bagaimanapun Zuraida dalam keterangannya pula memberitahu, bahawa beliau menandatangani beberapa dokumen yang disediakan parti itu sehari sebelum pencalonan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), di bawah paksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI