fbpx

Mahkamah: Lelaki Indonesia dijel 15 bulan, tipu batu delima sakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Jasin, Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

JASIN – Padah memperdayakan warga emas dengan menjual batu delima kononnya mampu mengubati segala jenis penyakit, seorang penjual buah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Roni Pito, 47, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah memperdayakan Talib Dahlan @ Jaslan,76, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM54,500 kepadanya.

Ia bertujuan bagi pembayaran batu delima berkenaan yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tunai itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bandar Jasin, di sini, pada 5 Oktober 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon agar hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kerugian dialami mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanpun merayu hukuman ringan diberikan bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Jun lalu dengan alasan dia perlu menanggung isteri dan tiga anak.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan bermula dari tarikh ditangkap dan satu sebatan.

Kosmo! pada 13 Oktober 2022 melaporkan, sepasang suami isteri warga emas rugi RM54,500 apabila terpedaya dengan taktik sekumpulan lelaki menjual batu delima yang didakwa berupaya bercahaya di dalam air dan mengubati penyakit.

Suspek sebelum itu telah mendekati mangsa yang sedang membeli jagung dengan berpura-pura bertanya kepada warga emas terbabit mengenai kedai buku agama dan telah menunjukkan sebutir batu delima berwarna merah.

Suspek kemudian menaiki kereta mangsa bagi menunjukkan batu tersebut mampu bercahaya apabila direndam di dalam air dan menyuruh pasangan itu meminum air rendaman selepas melihat wanita warga emas berkenaan bertongkat.

Akibat terpedaya, mangsa kemudian telah pulang ke rumahnya di Felda Bukit Senggeh dan menyerahkan wang tunai sebanyak RM4,500 sebelum mengeluarkan RM50,000 lagi dari akaun Maybank untuk dibayar kepada suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI