fbpx

Mahkamah: Keputusan rayuan kes bakar tahfiz dijadual semula 11 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan seorang pemuda berusia 22 tahun daripada tuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran enam tahun lalu, dijadual semula oleh Mahkamah Rayuan pada 11 September ini.

Pada tarikh yang sama, mahkamah turut akan memutuskan rayuan seorang lagi pemuda juga berusia 22 tahun terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah atas tuduhan tersebut.

Sebelum ini, rayuan itu didengar di hadapan Hakim Datuk Abu Bakar Jais (kini hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun dan dijadulkan untuk keputusan pada Jumaat ini.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua pemuda berkenaan mengesahkan kepada wakil media bahawa tarikh baharu keputusan rayuan dimaklumkan melalui surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 20 Jun lalu.

Dalam prosiding itu, pemuda yang dinamakan sebagai penama pertama merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas pertuduhan membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan rakannya yang dinamakan sebagai penama kedua.

Pihak pendakwaan memohon penama kedua dipanggil membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Pada 11 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, mustahil kejadian kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di ibu negara hanya dilakukan oleh seorang individu berdasarkan penemuan dua tong gas di tingkat atas asrama pusat tahfiz itu, enam tahun lalu.

Hujah beliau, tong gas tersebut masing-masing seberat 14 kilogram tidak mungkin mampu diangkat secara berseorangan dari tingkat bawah melalui tangga.

May Ling menghujahkan, satu tong gas diletakkan secara menegak dan satu lagi melintang sebelum petrol disimbah di hadapan pintu.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI