fbpx

Litrak laksana kajian laluan kontra di LDP selama 3 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) bakal melaksanakan kajian kontra di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) bagi mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak sebelah petang.

Litrak dalam satu kenyataan berkata, laluan kontra tersebut akan bermula dari Kilometer (KM)19.2 selepas Canopy A, Plaza Tol Petaling Jaya hingga KM22 dari arah Bandar Sunway ke Putrajaya/Shah Alam, LDP.

Menurut kenyataan tersebut, kajian akan dilaksanakan dalam tempoh selama tiga bulan bermula 17 Julai ini (Isnin) dari pukul 4.30 petang hingga pukul 8.30 malam.

“Laluan kontra ini dibuka pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum untuk kegunaan kenderaan ringan Kelas 1 atau pengguna kad Touch ‘n Go sahaja.

“Laluan kontra ini juga khusus dan terhad untuk pengguna LDP yang ingin ke Putrajaya/Shah Alam sahaja,” katanya hari ini.

Lakaran laluan kontra yang bakal dilaksanakan Litrak selama tiga bulan.

Tambah kenyataan itu lagi, pengguna lebuh raya dari arah Puchong menghala ke Bandar Sunway/Petaling Jaya dinasihatkan untuk menggunakan lorong kiri atau jalan alternatif sepanjang tempoh pelaksanaan kajian laluan kontra berkenaan.

“Pelaksanaan kajian laluan kontra berkenaan seiring dengan pelan tindakan strategik Litrak yang bertepatan dengan hasrat mengurangkan kesesakan trafik kepada pengguna lebuh raya untuk pulang ke rumah,” ujarnya

Untuk sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian bantuan LDP di 03-7494 7333 atau akaun Twitter @LDPTrafik. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI