PETALING JAYA – Hasrat skuad olahraga negara untuk menaiki podium pada hari pertama Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand gagal menjadi kenyataan.
Harapan terbaik Malaysia hadir menerusi kuartet 4×100 meter (m) lelaki terdiri daripada pemegang rekod 100m kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Mohamad Thaqif Mohammad Hisham.
Ia berdasarkan masa dilakukan mereka pada peringkat saringan iaitu 39.20 saat (s) yang merupakan catatan ketiga terpantas daripada keseluruhan 12 kuartet.
Bagaimanapun, ia gagal menjadi kenyataan apabila kuartet 4x100m lelaki negara terpaksa menerima hakikat menamatkan aksi final pada kedudukan keenam dengan catatan 39.17s di Stadium Nasional sebentar tadi.
Pingat emas menjadi milik seteru tradisi Malaysia iaitu Thailand dianggotai Natawat Iamudom, Soraoat Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson dengan masa 38.55s
Menariknya, ia adalah rekod baharu kejohanan, memadam catatan lama dilakukan kuartet itu sewaktu mengungguli peringkat saringan dengan mas 38.66s.
Pingat perak dimenangi China (Wu Zhiqiang, Xie Zhenye, Chen Jiapeng dan Chen Guanfeng) dengan masa 38.87s, manakla Korea Selatan (Lee Simon, Ko Seunghwan, Shin Minkyu serta Park Wonjin) meraih gangsa (38.99s).
Nasib sama turut dialami kuartet 4x100m wanita yang terlebih dahulu ditimpa malang apabila Azreen Nabila Alias terpaksa digantikan Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi disebabkan masalah kecederaan.
Kuartet wanita diwakili Aliah Maisarah, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas menamatkan final di tempat kelima menerusi masa 45.56s.
Emas acara itu dimenangi kuartet China dengan masa 43.35s diikuti Jepun di tempat kedua (43.95s) dan tuan rumah Thailand memenangi gangsa (44.56s).
Seorang lagi atlet negara iaitu Savinder Kaur Jogindr Singh pula menamatkan cabarannya dalam acara 1,500m wanita di tempat kesembilan dengan masa empat minit 32.75s. – KOSMO! ONLINE