fbpx

Kes jenayah komersial membimbangkan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Azman menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang kakitangan polis sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

KUCHING – Kes jenayah komersial semakin membimbangkan di negeri ini, apabila terus meningkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan e-dagang merekodkan paling ramai mangsa serta kerugian, iaitu sebanyak 279 kes dengan kerugian RM2.06 juta.

Selain itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kes kedua tertinggi ialah tawaran pekerjaan dengan 165 kes dan kerugian RM3.9 juta diikuti pinjaman tidak wujud (154 kes, kerugian RM1 juta), pelaburan (115 kes, kerugian RM12.4 juta) dan Phone Scam (111 kes, kerugian RM 8 juta).

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini, sebanyak 1,465 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun 2022 sebanyak 1278 kes iaitu peningkatan sebanyak 187 kes. Kerugian yang direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini adalah sebanyak RM60 juta manakala bagi tempoh sama tahun 2022 adalah sebanyak RM36 juta iaitu peningkatan sebanyak RM24 juta,” katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mancha Ata.

Justeru, beliau berkata usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak bagi membendung jenayah berkenaan telah menghasilkan sebanyak 456 tangkapan dalam tahun ini.

“Seramai 652 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelum) telah dituduh di mahkamah. Pertuduhan melibatkan 628 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan sebanyak 913, dengan jumlah peratusan pertuduhan sebanyak 42.87 peratus,” katanya.

Manakala bagi kes dadah, beliau berkata seramai 5,665 orang telah ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan 1,089 orang berbanding tempoh sama tahun 2022.

Pada masa sama, katanya nilai rampasan dadah juga meningkat iaitu RM118.9 juta pada tahun ini berbanding tahun 2022 selain pelbagai aset sindiket RM3.7 juta telah disita sehingga Jun 2023.

Beliau menambah sebanyak 3,411 kes daripada 5,419 kertas siasatan yang dibuka sehingga Jun 2023 telah dituduh di mahkamah, berbanding 2,650 kes daripada 4,159 kertas siasatan yang dibuka pada tempoh sama tahun 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI