TANPA sedar, air mata penulis berkaca apabila juara program Big Stage musim kelima (BS5) yang baru diumumkan Ahad lalu, Nadeera Zaini menangis ketika menceritakan dirinya menjadi mangsa buli netizen.
Tanpa rasa kasihan dan waras akal, jari jemari pembuli sewenang-wenangnya meninggalkan komen mengguris hati apabila sanggup mengutuk penampilan serta wajahnya menyerupai haiwan.
Kata Nadeera, 30, dia sedar rupa parasnya mungkin tidak secantik artis lain. Namun komen-komen menghina bentuk fizikalnya yang ditinggalkan netizen dalam media sosial, telah membuatkan emosinya tercalar.
Perkongsian Nadeera meruntun hati ramai pihak termasuk pengacara BS5 iaitu Elly Mazlein dan Rina Nose apabila mereka turut menitiskan air mata sayu.
Malah, juri tetap BS5 iaitu komposer, Ajai lantang mempertahankan Nadeera apabila turut terkesan dengan penghinaan yang diterima penyanyi berbakat besar itu.
Nyatanya, perkara yang dilalui Nadeera terang-terangan adalah salah satu bentuk buli siber.
Menurut kaunselor berdaftar, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd. Khalid, buli siber merupakan suatu hal serius yang boleh memberi kesan emosi kepada mangsa sama ada buli dalam bentuk serangan atau penganiayaan.
Ujarnya, mangsa buli siber boleh terjadi pada sesiapa sahaja, termasuk public figure (selebriti) yang lebih mendapat tumpuan masyarakat.
“Mangsa buli akan mengalami stres yang tinggi. Stres yang tidak terkawal itu akan menyebabkan tekanan pada mental.
“Golongan selebriti misalnya perlu menjaga reputasi dengan memenuhi harapan orang lain. Apabila penampilan mereka ditegur akan membuatkan dirinya berasa terancam,” ujarnya.
Kesan yang boleh terjadi kepada mangsa buli ini, mereka cenderung untuk mengalami depresi, anxiety dan cognitive dissonance iaitu pemikiran negatif terhadap diri sendiri.
“Sampai satu tahap, mangsa buli akan memberi reaksi suka menyendiri, malu berjumpa orang lain dan tidak berani untuk mempertahankan diri sendiri.
“Akhirnya, mangsa boleh mengalami perubahan tingkah laku. Mereka akan menjadi defensif menjauhi sosial dan mengalami gangguan pada tabiat makan.
“Segelintir mangsa juga akan mengalami gangguan tidur selain turut mengalami mimpi buruk berkaitan pengalaman yang dilaluinya,” jelas Raja Kamariah.
Tambahnya, gangguan pada emosi tercalar tidak sama seperti luka yang boleh dirawat. Emosi perlu melalui beberapa proses untuk dipulihkan semula.
“Antaranya adalah melalui sokongan emosi daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk membantu mangsa menjadi neutral semula.
“Kita boleh menjadi pendengar jika ada mangsa mahu bercerita tentang masalah kita. Tapi kita hanya boleh dengar tanpa memberi nasihat atau komen. Cuba faham apa yang cuba diluahkan mereka,” ujarnya.
Mangsa buli siber juga perlu belajar bagaimana untuk meningkatkan daya tahan diri.
“Kita lebih kenal diri sendiri. Namun, jika gangguan berterusan dan sehingga tidak boleh lupa selama dua minggu berturut-turut, disarankan mangsa untuk berjumpa pakar,” katanya.
Banyak perkara negatif boleh berlaku jika melibatkan emosi. Buat Nadeera Zaini, teruskan langkah perjuangan anda.
Abaikan cakap-cakap buruk netizen. Apa yang penting, buktikan bakat anda melebihi rupa.