JAKARTA – Pengawal Pantai Indonesia merampas sebuah kapal tangki yang mempunyai bendera Iran yang disyaki memindahkan minyak mentah secara haram dan memanipulasi sistem pengesan automatiknya, lapor akhbar Arab News.
Sebuah kapal peronda Pengawal Pantai Indonesia, KN Pulau Marore melihat kapal pengangkut minyak mentah, MT Arman 114 berhampiran Laut Natuna Utara pada Jumaat lalu ketika ia melakukan pemindahan minyak itu bersama kapal MT S Tinos yang berbendera Cameroon.
Kapal-kapal itu ditunda di Zon Ekonomi Eksklusif Indonesia dan tidak mempunyai permit untuk memindahkan minyak.
Kedua-duanya cuba mengelak daripada pemeriksaan dengan belayar ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, kata seorang pegawai Indonesia.
“Kedua-dua kapal itu tidak bertindak balas terhadap komunikasi dan cuba mengelak proses pemeriksaan dan belayar semasa hos masih terpasang (proses pemindahan minyak masih berjalan).
“Kapal itu dikejar serta-merta sehingga memasuki ZEE Malaysia,” kata Pengawal Pantai Indonesia dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, kapal MT Arman sepanjang 330 meter itu membawa 272,569 tan metrik minyak mentah ringan atau 2.3 juta tong minyak dengan anggaran nilai sebanyak AS$303 juta (RM1.4 bilion).
Kapal KN Pulau Marore dibenarkan memasuki wilayah Malaysia di bawah perjanjian kerjasama Pengawal Pantai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan ia mengejar kapal tersebut dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“MT Arman 114 melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dengan mematikan sistem maklumat automatik (AIS), memalsukan AIS (data AIS MT Arman menunjukkan ia berada di Laut Merah),” kata Pengawal Pantai Indonesia. – AGENSI