JASIN – Gara-gara hilang sabar tanamannya sering dirosakkan, seorang warga emas dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menembak mati lima ekor lembu di kebun miliknya, April lalu.
Tertuduh, Midon Lambak, 79, membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Hukuman bagi pengakuan itu bagaimanapun ditangguhkan pada 17 Julai depan sementara menunggu untuk barang kes iaitu senjata sejenis shotgun dibawa ke mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menembak menggunakan senjata sejenis shotgun 12 Bore jenis Baretta A303 terhadap lima ekor lembu sehingga menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 pagi di kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas, Asahan dalam daerah Jasin pada 15 April lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan yang bernilai RM5,000 sehingga menyebabkan kematian ke atas lembu tersebut.
Perbuatan itu dilakukan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-dua sekali.
Difahamkan, tertuduh bertindak demikian setelah berang apabila lembu-lembu berkenaan dibiarkan berkeliaran tanpa kawalan oleh pemiliknya sehingga merosakkan tanamannya beberapa kali.
Tertuduh juga dikatakan telah memaklumkan perkara tersebut kepada pemilik namun tidak diendahkan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia tidak bekerja dan tinggal seorang diri, manakala anak-anaknya telah berkahwin dan menetap bersama keluarga masing-masing.
Dia juga memberitahu baru-baru ini kerap diserang strok ringan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE