fbpx

Gelombang haba bunuh 61,000 orang di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANDANGAN Sungai Rhine yang kering di Duesseldorf, barat Jerman akibat gelombang haba pada 25 Julai 2022. – AFP

PARIS, Perancis – Lebih 61,000 orang meninggal dunia akibat haba ekstrem semasa musim panas yang memecahkan rekod cuaca suhu di Benua Eropah tahun lalu, demikian menurut kajian yang diterbitkan kelmarin seperti laporan berita Wion News.

Menurutnya, usaha perlu dipertingkatkan untuk melin­dungi orang awam daripada gelombang haba lebih dahsyat pada masa hadapan.

Eropah mengalami musim panas paling panas dalam rekod pada tahun 2022 yang menyaksikan sebilangan negara terjejas akibat suhu ekstrem, kemarau dan kebakaran hutan.

Walaupun Agensi Perangkaan Kesatuan Eropah (Eurostat) sebelum ini melaporkan jumlah kematian tinggi pada musim panas tahun lalu, angka korban spe­sifik berkaitan gelombang haba belum dapat ditentukan sehinggalah sekarang.

Kajian mengenainya dilakukan oleh pasukan penyelidik Institut Barcelona untuk Kesihatan Global bersama institut penyelidikan kesihatan Perancis, INSERM yang menganalisis data suhu serta kematian dari 2015 hingga 2022 untuk 823 wilayah di 35 negara Eropah, meliputi populasi seramai 543 juta orang.

Berdasarkan model kajian tersebut, mereka menganggarkan jumlah kematian mingguan disebabkan oleh gelombang haba di setiap wilayah semasa musim panas 2022.

Kajian itu mendedahkan bahawa sejumlah 61,672 kematian berkaitan gelombang ha­ba berlaku antara 30 Mei hingga 4 September tahun lalu.

Minggu 18 hingga 24 Julai 2022 sahaja merekodkan lebih 11,600 kematian aki­bat gelombang panas yang kuat.

Penyelidik INSERM dan pe­ngarang bersama kajian itu, Hicham Achebak menyifatkan jumlah kematian yang berlaku adalah ‘sangat tinggi’ dan menekankan keperluan mengambil langkah selanjutnya untuk melindungi orang awam.

Bercakap kepada agensi be­rita AFP, beliau berkata: “Kami menge­tahui kaitan haba dengan kematian selepas 2003 tetapi melalui analisis ini, kami melihat bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk melindungi penduduk.”

Kajian sama menekankan bahawa Perancis yang merekodkan lonjakan suhu 2.43 darjah Celsius, mengalami peningkatan haba tertinggi berbanding suhu purata musim panas sebelumnya, diikuti rapat oleh Switzerland (2.30 Celsius), Itali (2.28 Celsius), dan Hungary (2.13 Celsius).

Bagaimanapun, Itali menca­tatkan jumlah kematian tertinggi berkaitan gelombang haba pada 2022 iaitu seramai 18,010 orang, diikuti oleh Sepanyol (11,324 kematian) dan Jerman (8,173 kematian).

Walaupun majoriti kematian berlaku dalam kalangan individu berumur lebih 80 tahun, secara keseluruhan, wanita merangkumi sekitar 63 peratus daripada kematian berkaitan gelombang haba.

Jurang jantina itu lebih ketara dalam kumpulan usia 80-an, de­ngan wanita mencatatkan kadar kematian 27 peratus lebih tinggi berbanding lelaki.

Penyelidikan itu meramalkan senario masa depan yang buruk jika tiada tindakan diambil untuk melindungi orang ramai daripada peningkatan suhu dan gelombang haba. Menurut kajian sama, menjelang 2030,

Eropah diramal menyaksikan lebih 68,000 kematian berkaitan gelombang haba setiap kali musim panas.

Menjelang 2040, jumlah tersebut boleh meningkat kepada le­bih 94,000 orang, manakala menjelang 2050 pula, angka korban dijangka melepasi 120,000 orang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI