fbpx

Chelsea, Man. United buat pelaburan merugikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHELSEA dianggarkan mencatat kerugian paling besar apabila nilai semasa pasukan memiliki jurang kerugian paling ketara berbanding dana yang dikeluarkan untuk mendapatkan pemain. - FB CHELSEA

LONDON – Chelsea dan Manchester United menjadi dua pasukan yang berdepan kerugian besar berdasarkan dana yang dikeluarkan untuk mendapatkan para pemain berbanding nilai semasa skuad yang mereka miliki.

Berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Transfermarkt, Chelsea telah membelanjakan sebanyak £880 juta (RM5.28 bilion) pada pasaran perpindahan, namun nilai keseluruhan pasukan itu hanyalah £756 juta (RM4.53 bilion).

United pula ketika ini sedang berusaha untuk menjual sebahagian besar pemainnya bagi mengurangkan kerugian apabila sudah mengeluarkan belanja sebanyak £830 juta (RM4.98 bilion), namun skuad itu hanya dianggarkan bernilai £715 juta (RM4.29 bilion).

Ia berbeza dengan Arsenal yang dibimbing Mikel Arteta apabila nilai semasa mereka dianggarkan £915 juta (RM5.49 bilion) ketika pasukan itu hanyalah mengeluarkan belanja sebanyak £572 juta (RM3.43 bilion) sekali gus mencatat keuntungan sehingga £343 juta (RM2.05 bilion).

Lebih mengejutkan, dua pasukan yang dianggap kerdil dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Brentford dan Brighton juga berjaya membuat keputusan bijak dalam pasaran perpindahan pemain apabila masing-masing memiliki nilai semasa yang lebih tinggi berbanding perbelanjaan.

Brentford hanya mengeluarkan perbelanjaan sekitar £162 juta (RM972 juta), namun pasukan itu kini bernilai £341 juta (RM2.04 bilion), manakala Brighton bermodalkan £159 juta (RM954 juta), tetapi nilai mereka meningkat sehingga £402 juta (RM2.41 bilion).

Sementara itu, Manchester City turut berada dalam senarai pasukan yang bijak apabila hanya berbelanja sebanyak £852 juta (RM5.11 bilion), namun dinilai pada harga £1.02 bilion (RM6.12 bilion) selain Liverpool memiliki nilai £150 juta (RM900 juta) lebih tinggi berbanding modal yang dikeluarkan sebanyak £726 juta (RM4.35 bilion). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI