fbpx

Bell Ngasri antara calon bintang paling popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelawak dan penyampai radio, Johan akan bertindak sebagai hos ABP35 yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai ini. - MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Aina Abdul dan pelakon, Anna Jobling antara 10 artis dengan undian tertinggi menjelang malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) yang diumumkan, malam tadi.

Selebriti lain yang turut menunjukkan prestasi cemerlang hasil undian peminat ialah Amir Masdi, Bell Ngasri, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.

Pengarah ABP35 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian (BH), Shamshul Azree Samshir berkata, senarai Top 10 yang diumumkan itu adalah berdasarkan susunan abjad nama, bukan undian semasa.

“Malam pengiktirafan gelaran Bintang Paling Popular semakin hampir dan daripada undian jelas membayangkan persaingan sengit antara semua calon,” katanya pada majlis pengumuman penyampai dan penyanyi yang membuat persembahan ABP35, di The Agam, di sini.

Pada acara berkenaan, bekas Menteri Kesihatan yang juga penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin diumumkan antara barisan penyampai trofi.

Dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai ini, selain Khairy atau KJ, selebriti lain yang menggalas tugas sama ialah Erra Fazira, Meerqeen, Siti Hariesa, Anna Jobling, Beto Kusyairy, Mas Idayu, Sissy Iman dan Raysha Rizrose.

Penyampai trofi lain adalah penerbit merangkap pelakon, Erma Fatima serta Janna Nick dan tidak ketinggalan Fara Fauzana, AG, Sherry Alhadad, Che Puan Sarimah Ibrahim serta Puteri Sarah Liyana.

Shamshul berkata, saban tahun ABP menyenaraikan ramai personaliti popular sama ada sebagai penyampai trofi mahu pun untuk segmen persembahan bertepatan penganjuran acara kemuncak tersebut.

“Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, konsep ini akan diketengahkan dalam pengendalian acara malam itu nanti yang juga gelanggang perhimpunan penggiat seni hiburan,” katanya.

Penganjur turut mengumumkan pelawak dan penyampai radio, Johan Yazid Lim kembali ke pentas ABP sebagai pengacara selepas kali terakhir mengendalikan acara sama pada 2013.

Bakal diadakan di Istana Budaya, bagi edisi ke-35 majlis pengiktirafan bersandarkan pilihan peminat itu, Johan, 39, akan bergandingan dengan Ain Edruce.

Sejajar tema, barisan penyanyi yang bakal beraksi nanti adalah membabitkan penampilan bintang bertaraf ikon sehingga bakat baharu namun mempunyai ramai penggemar tegar.

Antaranya penyanyi nombor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selain Datuk Ramli Sarip; Datuk Yusni Hamid; Dayang Nurfaizah, Amelina; Aizat Amdan; Aina Abdul; Sufian Suhaimi dan Baby Shima.

Tidak ketinggalan Roslan Madun, Haziq Rosebi, Luca Sickta, Kmy Kmo, Luqman Podolski, Aya Amiruddin dan Norreen serta kumpulan Mergasatwa.

ABP35 menyaksikan sebanyak 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan dipertandingkan, selain menyediakan dua trofi anugerah khas serta Bintang Paling Popular. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI