fbpx

Bekas pegawai khas menteri ditahan minta sogokan RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung sogokan bernilai RM25,000. FOTO SUMBER SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai khas menteri kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, suspek yang juga seorang penjawat awam dikatakan telah meminta wang rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan terhadap anak kandungnya.

“Pada bulan Jun lalu, suspek telah menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

“Suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara telah ada padanya seterusnya meminta individu terlibat membayar wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan itu,” katanya ketika dihubungi tadi.

Sumber mendedahkan, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar SPRM menyiasat berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara.

Susulan penahanan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI