fbpx

Ahmad Zahid saran jumlah Shakam dinaikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berharap jumlah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dinaikkan tiga kali ganda pada masa hadapan.

BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap jumlah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dapat ditingkatkan tiga kali ganda pada masa akan datang.

Beliau tanpa berselindung menyuarakan rasa simpati memandangkan jumlah Shakam tidak menunjukkan peningkatan meskipun prestasi atlet-atlet semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, Ahmad Zahid percaya jumlah Shakam akan diberikan perhatian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan bajet tahun depan.

“Saya bangga dengan pencapaian mereka (atlet) tetapi apa yang dilihat adalah pencapaian kita semakin meningkat tetapi hadiah tidak meningkat pun, jadi saya amat bersimpati.

“Saya simpati cuba minta hadiah ganjaran lebih banyak. Saya yakin pada Belanjawan tahun depan, Perdana Menteri akan tingkatkan hadiah galakan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Shakam di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis penuh gilang-gemilang tersebut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Timbalan, Adam Adli Abd. Halim.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru badan-badan korporat untuk tampil memberikan tajaan bagi meringankan beban kerajaan selain turut menjanjikan pengecualian cukai kepada mana-mana pihak terlibat.

“Jangan letakkan bebanan hanya kepada kerajaan, banyak syarikat swasta berhajat menaja dan menambah nilai hadiah (Shakam) yang ada. Saya yakin pihak kerajaan berikan pengecualian cukai,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, pemenang pingat temasya Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Para Asean Kemboja 2023 menerima insentif kemenangan di bawah Shakam berjumlah RM2.4 juta atas prestasi cemerlang yang ditampilkan.

Ahmad Zahid juga menjelaskan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) beruntung kerana memiliki Hannah sebagai Menteri atas penglibatan beliau yang proaktif.

“Beliau (Hannah) sangat memperjuangkan ahli sukan seluruh negara dan memerhatikan perjuangan yang dibawa beliau di kabinet. Saya mendokong hasrat untuk kita meraih sekurang-kurangnya satu emas di Olimpik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI