PETALING JAYA – Penganjuran siri kedua Cabaran Lebuh Raya Duo Allianz IJM berjaya menarik penyertaan lebih 8,5000 pelari mengambil bahagian pada saingan di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) hujung minggu lalu.
Menariknya, acara larian yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu kembali selepas tiga tahun dihentikan ekoran pandemik Covid-19 sejak penganjuran edisi pertama pada 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, beliau teruja untuk menjadi penaja tempat untuk larian berkenaan.
“Cabaran Lebuh Raya Duo Allianz IJM memberikan pengalaman positif berlari di lebuh raya yang tertutup sepenuhnya dan membuktikan diri sebagai acara unik untuk peminat sukan di semua peringkat.
“Kami berbangga untuk menyaksikan acara itu semakin popular dan bertambah baik selama bertahun-tahun dan berharap menjadikan Cabaran Lebuh Raya Duo Allianz IJM sebagai acara diburu dalam kalendar peserta,” katanya.
Larian itu bermula dari Sunway Pyramid menyusuri laluan Lebuh Raya NPE menuju Templer dan Kuchai Lama sebelum berpatah balik ke garisan penamat di Sunway Pyramid.
Cabaran Lebuh Raya Duo Allianz IJM menjadi semakin popular sejak penganjuran sulung pada 2017 dengan bilangan peserta meningkat setiap tahun sehingga 2019 dan terpaksa diadakan secara maya pada 2021.
Pusingan akhir Cabaran Lebuh Raya Duo Allianz IJM 2023 itu menyaksikan pelari memenuhi Lebuh Raya NPE seawal pukul 4.30 pagi dan menunggu dengan penuh semangat untuk bersaing dalam perlumbaan.
Acara itu menyaksikan para pelari memenuhi ruang Lebuh Raya NPE seawal pukul 4.30 pagi, bersaing dalam tiga kategori iaitu 21 kilometer (km), 10km dan Fun Run 5km dibezakan mengikut peringkat umur. – KOSMO! ONLINE