JAKARTA – Seorang wanita yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji di Kota Suci Mekah dipanggil menjalani sesi pemeriksaan oleh Direktorat Jeneral Kastam Eksais (Bea) Indonesia selepas video dia mempamerkan barang kemas tiruan seberat 180 gram tular di media sosial, lapor portal berita Okezone hari ini.
Wanita dikenali sebagai Suanarti itu menjalani pemeriksaan pengesahan di agensi cukai itu di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan selama tiga jam, semalam.
Peguamnya, Ayu berkata, anak guamnya telah memberikan penjelasan kepada pegawai mengenai barangan kemas tiruan yang dibawa pulang itu.
“Anak guam saya sudah menyelesaikan isu dengan Bea Cukai dan dia telah menjelaskan semua isu mengenai video tular itu,” katanya.
Sebelum ini, Suanarti tular di media sosial Indonesia kerana mempamerkan emas seberat 180 gram di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin Makassar sejurus mendarat di tanah air 5 Julai lalu.
Suanarti memaklumkan bahawa barang kemas tersebut dibeli di Arab Saudi ketika dia pergi menunaikan haji.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Bea Cukai Makassar, Ria Novika berkata, disebabkan barangan kemas yang dibawa pulang itu tiruan dan harganya tidak melebihi peruntukan duti import, pengecualian cukai telah diberikan.
“Memang benar emas (tiruan) itu dibeli dari luar negara. Harganya sekitar 900,000 rupiah (RM276.61) sahaja, jadi kurang daripada 1 juta rupiah (RM307.35) iaitu had minimum untuk cukai,” katanya. – Agensi