fbpx

Wajibkan literasi urus duit KWSP orang bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BARU-BARU ini Kosmo! melaporkan mengenai beberapa kes pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menghabiskan wang simpanan mereka sekitar RM300,000 hanya dalam masa setahun.

Wang hasil penat lelah yang dikumpulkan lebih 30 tahun itu digunakan untuk membeli tanah di kampung kemudian bina rumah baharu serta membayar hutang-piutang termasuk tunggakan kad kredit.

Hari ini, pesara tersebut terpaksa bergantung hidup untuk kos makan dan minum dengan mengharapkan pemberian bulanan anak-anak. Dia ternyata masih beruntung kerana mempunyai anak.

Satu kes lagi ialah pesara yang begitu bermurah hati menggunakan wang KWSP miliknya untuk membiayai majlis perkahwinan anak. Umum sedar bahawa kos untuk majlis perkahwinan hari ini bukan murah apatah lagi jika diadakan di hotel atau dewan-dewan eksklusif.

Malah pesara itu dengan rela hati membantu kos mengubah suai rumah anaknya. Ada pesara lain membeli kereta mewah secara tunai, ada pula yang melabur dan akhirnya modal habis, untung tiada.

Meskipun paparan itu mungkin kes terpencil tetapi jelas membayangkan betapa 15.7 juta ahli KWSP yang ada boleh terjebak dengan 1,001 masalah menguruskan wang jika tidak ada ilmu, kesedaran dan disiplin diri.

Wang pada hari tua amat penting kerana secara realiti sukar lagi bagi seseorang untuk terus bekerja membanting tulang pada usia ini, apa lagi ramai yang berhadapan dengan pelbagai penyakit.

Meskipun laporan menyebut bahawa hanya 19 peratus daripada ahli KWSP yang mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mereka mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun, namun setiap ahli wajar mendapat didikan asas literasi kewangan sebelum dibolehkan ‘mengurus’ wang simpanan masing-masing.

Menguruskan wang tunai yang banyak bukan suatu yang mudah terutama kepada mereka yang tidak biasa memegang wang RM100,000, RM200,000 atau RM300,000. Lainlah kepada ahli-ahli perniagaan, hartawan dan jutawan.

Sebilangan pesara ini pula mudah terpengaruh dengan ajakan pihak tertentu khususnya rakan-rakan untuk berniaga atau melaburkan wang dalam apa juga pelaburan.

Pada usia emas ini juga hati mereka juga begitu lembut dan mudah simpati apabila didatangi saudara-mara jauh dan dekat memohon bantuan atau pinjaman apabila mengetahui memiliki wang tunai yang banyak.

Oleh itu, tiba masanya kepada KWSP atau pihak bertanggungjawab melaksanakan satu peraturan baru mewajibkan kursus literasi kewangan kepada golongan yang bakal bergelar ‘orang kaya’ ini.

Melalui peraturan itu sekurang-kurang mereka mempunyai asas pengetahuan tatacara menguruskan wang, risiko-risiko serta cara terbaik untuk membiayai kehidupan menggunakan wang KWSP.

Apa yang kita harapkan ialah mereka tidak bergelar orang kaya hanya dalam masa beberapa bulan sebelum tersungkur sebagai orang papa pada penghujung usia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI