fbpx

Ustaz didakwa buat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ab Malik (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp November lalu. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Seorang penceramah bergelar ustaz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp, November lalu.

Tertuduh, Ab Malik Hussain, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada dua anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp ‘soal jawab tasawuf-(sufi)’.

Hantaran itu telah dilihat pada pukul 8.30 malam di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di dalam daerah Perak Tengah pada 22 November 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin.

Terdahulu, Saiful Akmal mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun Mohamad Khazali memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mohamad Khazali berkata, Ab Malik merupakan penceramah di Kelantan di mana dia dibayar sebanyak RM200 bagi setiap ceramah dengan tawaran empat ke lima ceramah sebulan.

“Tertuduh juga adalah penanggung tunggal keluarga dengan isteri yang tidak bekerja dan dua anak berusia 13 dan 10 tahun. Dia juga memberi kerjasama baik sepanjang proses siasatan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI