fbpx

Tragedi kepala air: Beg sandang Karim hanyut 10 hari ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dokumen dan barangan peribadi Karim sekeluarga yang dijumpai di dalam sebuah beg terdampar di beting pasir Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Pencarian berskala kecil mencari mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Mawar, Putri Nor Fatin Karim, 14, semalam telah menemukan satu beg sandang dipercayai milik bapa gadis itu.

Beg berwarna hitam tersebut dijumpai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah sewaktu mengetuai operasi pencarian tersebut pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, beg sandang tersebut ditemui terdampar di atas kawasan beting pasir kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Kita percaya beg sandang yang mengandungi dokumen dan barangan peribadi milik mangsa dan keluarganya tersebut turut dihanyutkan kepala air dalam kejadian 1 Julai lalu.

“Ia timbul semula di kawasan beting pasir terbabit selepas paras air sungai kembali surut dan normal selepas 10 hari bencana alam itu berlaku,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, pemeriksaan mendapati beg sandang itu mengandungi dompet berisi wang tunai lebih RM1,000, kad bank dan kad pengenalan Karim dan ahli keluarganya.

Tambah beliau, seutas kalung emas dan tiga telefon bimbit turut dijumpai di dalam beg terbabit.

“Kita juga menjumpai tanda nama, Fatin yang dipercayai milik mangsa terakhir masih belum ditemui.

Kosmo! 4 Julai lalu melaporkan Karim bersama isteri, Azizah Eiyi, 40, dan tujuh anak mereka berusia antara empat hingga 18 tahun serta bakal menantu lelaki mereka terkorban akibat fenomena kepala air sewaktu beriadah di Jeram Mawar, Air Putih di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI